Dosa Tinggal Solat Lebih Besar Daripada Zina

Tertarik aku untuk berkongsi artikel yang aku perolehi daripada iluvislam.com, moga artikel ini dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang membacanya.

www.iluvislam.com
Dihantar Oleh: epid

Editor: nazir_dinie

Pada satu senja yang lengang, kelihatan seorang wanita berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang. Pakaiannya yang serba hitam menunjukkan dia dicengkam kesedihan manakala kerudungnya menutup rapat hampir seluruh wajahnya.

Walaupun tidak bersolek atau memakai perhiasan lain di tubuhnya, kulitnya yang bersih, memiliki tubuh yang ramping dan rona wajah yang ayu, tetap tidak dapat menghapuskan kepedihan yang sedang membelenggu hidupnya.

Dia melangkah perlahan-lahan mendekati rumah Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu perlahan-lahan sambil mengucapkan salam. Apabila terdengar ucapan ‘silakan masuk’ dari dalam, wanita cantik itu melangkah masuk sambil kepalanya terus tertunduk.

Air matanya berderai ketika dia berkata: “Wahai Nabi Allah, tolonglah saya, doakan saya supaya Tuhan berkenan mengampunkan dosa keji saya,” “Apakah dosamu wahai wanita ayu?” tanya Nabi Musa a.s. terkejut. “Saya takut mengatakannya,” jawab wanita cantik itu. “Katakanlah, jangan ragu-ragu,” desak Nabi Musa.

Lalu wanita itu memulakan cerita, “Saya….telah berzina.” Kepala Nabi Musa terangkat, hatinya tersentak. Perempuan itu meneruskan, “Dari penzinaan itu, saya pun…. hamil. Setelah anak itu lahir, langsung saya…cekik lehernya sampai…mati,” cerita wanita itu sambil menangis sekuat-kuat hati.

Mata Nabi Musa berapi-api dan dengan muka yang berang, dia mengherdik, “Perempuan jahat, nyah kamu dari sini! Supaya seksa Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!” teriak Nabi Musa sambil memalingkan muka kerana jijik.

Mendengar herdikan itu, wanita itu pun segera bangun dan berlalu dengan hati yang hancur luluh. Ketika keluar dari rumah Nabi Musa, ratapannya amat memilukan. Dia terfikir ke mana lagi dia hendak mengadu kerana apabila seorang Nabi sudah menolaknya, bagaimana pula manusia lain bakal menerimanya? Terbayang betapa besar dosanya dan jahat perbuatannya.

Tetapi dia tidak tahu bahawa sepeninggalannya, Malaikat Jibril turun berjumpa Nabi Musa. Lalu Jibril bertanya: “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu ada dosa yang lebih besar daripadanya?”

Nabi Musa terperanjat. “Dosa apakah yang lebih besar dari kekejian wanita penzina dan pembunuh itu?” tanya Nabi Musa kepada Jibril. “Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang nista itu?” “Ada,” jawab Jibril dengan tegas. “Dosa apakah itu?” tanya Nabi Musa lagi. “Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar daripada seribu kali berzina.”

Mendengar penjelasan itu, Nabi Musa kemudian memanggil wanita itu untuk menghadapnya semula. Dia mengangkat tangan dengan khusyuk untuk memohon ampunan kepada Allah S.W.T untuk wanita itu.

Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama saja seperti berpendapat bahawa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu ke atas dirinya. Bererti, dia seakan-akan menganggap remeh perintah Allah, bahkan seolah-olah menganggap Allah tiada hak untuk mengatur dan memerintah hambaNya.

Sedangkan orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan bersungguh-sungguh bererti masih mempunyai iman di dalam dada, yakin bahawa Allah S.W.T itu ada dan berada di jalan ketaatan kepadaNya. Itulah sebabnya Allah pasti mahu menerima taubatnya.


Ya allah janganlah ENGKAU bolak balik hati kami setelah ENGKAU beri petunjuk kepada kami.

4 comments:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum...

first of all, kisah tersebut hendaklah dipastikan ketulenan dan kesahihannya. setakat ini saya tidak pernah mendengarnya tetapi memandangkan ia melibatkan soal hukum maka ianya wajib dipastikan. Ini kerana ia boleh membawa maksud dan persepsi yang berbeza antaranya seperti berikut:

1.berzina lebih baik dari tinggal sembahyang.
2.boleh berzina tetapi jgn tinggal sembahyang


zina adalah termasuk dalam tujuh dosa besar. Mengenai soal hukum, Kita tidak boleh menghalalkan yang haram dan mengharam yang halal. itu sudah meminda hukum Allah. Itu lah yang telah dilakukan oleh bani israel sejak zaman berzaman, memperkecil, mempersenda dan ingkar perintah Allah. tidak juga hairan bahwa kisah tersebut mungkin bersadarkan dari cerita2 israeliyat...

seperkara lagi, sekiranya kita mendorong sesuatu, kita akan mendapat pahala selagimana ia berterusan dan sebalinya sekiranya dorongan kita itu menyebabkan orang terdorong melakukan dosa, maka kita juga turut berdosa selagimana orang itu berterusan melakukan dosa. dalam hal ini, penyebaran tuan hamba, berkemungkinan boleh mendorong seseorang berbuat sesuatu yang tidak sepatutnya walaupun saya yakin saudara tidak berniat demikian.

Allah maha mengetahu dan Maha pengampun.

Tanpa Nama berkata...

persepsi saudara mungkin berbeza atau pun tersasar daripada moral of story yang ingin penulis kongsikan....

hal yang ingin penulis tegaskan melalui cerita ini ialah dosa orang yang sengaja meninggalkan solat adalah lebih besar dan lebih keji daripada zina...

zina seperti yang kita sedia maklum adalah salah satu dosa besar... dan meninggalkan solat dengan sengaja pula dosanya lebih besar daripada zina. bermakna berkali ganda lebih besar dosa dan seksaan utk orang yang meninggalkan solat. BUKAN BERMAKNA
-.berzina lebih baik dari tinggal sembahyang.
-.boleh berzina tetapi jgn tinggal sembahyang.

solat adalah tiang agama dan solat itu mampu mencegah seseorang itu dari melakukan kemungkaran. sebab itu ditekankan betapa pentingnya mendirikan solat.

kita tgk petikan ni

"Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama saja seperti berpendapat bahawa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu ke atas dirinya. Bererti, dia seakan-akan menganggap remeh perintah Allah, bahkan seolah-olah menganggap Allah tiada hak untuk mengatur dan memerintah hambaNya."

sama-sama kita mencari keredhaan allah

OTAI (Otak Tenang Akal Inovatif) berkata...

salam

dari

OTAI

segelas kopi panas berkata...

terima kasih OTAI kerana sudi menjengah ke ruangan picisan.. sekalung penghargaan.. harap tunjuk ajar dari OTAI.. tegurla sy kalau saya ada silap dalam menulis kerana ilmu masih cetek dan pengalaman masih sedikit serta diri masih lagi mentah.

Catat Ulasan

Lu Pikir..Lu Tulis